Laman ini berisi audio syarahan dan teks kuliah kitab 'Kifaayatul Muhtaaj fil Isra' wal Mi'raaj' karya Tuan Syeikh Daud al-Fatani

18.5.11

Teks Kuliah 1/123


Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan pilihannya, maka pada hari ini walaupun hujan, kita dapat bersama-sama berada di dalam rumah Allah sebagai tetamu Allah. Insyaallah pada malam ini kita akan masuk kepada kitab yang baru, sebagaimana yang dijanjikan iaitu kitab Kifaayatul Muhtaaj. Jadi buat sementara ini kita berhenti dahulu kitab Munyatul Musolli dan Peristiwa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman.


Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini membicarakan kisah Israk dan Mikraj. Kebetulan kita pun sudah hampir kepada bulan di mana peristiwa Israk Mikraj dipercayai berlaku iaitu bulan Rejab. Biasanya guru-guru mengajar kitab ini lebih kurang 1 ½ jam. Paling lama 2 jam. Bila sampai saja bulan Israk Mikraj, kita pun panggillah mana-mana ustaz, mana-mana penceramah, mereka datang dan kita buat makan-makan sikit. Tok guru pun ceritalah asal-usul Israk Mikraj. Tapi sekadar itulah cerita Israk Mikraj yang kita dapat lebih kurang 1 ½ jam ataupun 2 jam paling lama. Dalam tempoh 1 ½ jam ke 2 jam itu nak cerita peristiwa Israk Mikraj sepenuhnya tak dapat. Insyaallah, kita di surau ini kita akan baca satu kitab yang mungkin akan ambik masa beberapa minggu baru habis. Seluruh cerita Israk Mikraj akan kita bongkar. Tidak sekejap-sekejap sahaja, semuanya kita ambik dari segi pengajarannya, dari segi kaitannya dengan akhir zaman ini dan apa saja yang bermanfaat daripada kisah Israk Mikraj ini. Sebab apa tuan-tuan, Israk Mikraj ini sebenarnya rapat dengan kita kerana pada setiap kali kita sembahyang, dalam tahiyat dia bercerita tentang Israk Mikraj. “At-Tahiyya…” itu cerita Israk Mikraj. Setiap kali sembahyang Israk Mikraj.


Jadi kita berhenti sementara kitab-kitab yang kita belajar sebelum ini. Biasanya kita baca kitab Hadis 40 Peristiwa Akhir Zaman. Kitab Hadis 40 ini ada banyak jenis. Kenapa kita pilih Hadis 40 Akhir Zaman? Kerana dia memang sesuai dengan apa yang berlaku di sekeliling kita hari ini. Apa yang kita belajar memang dia kena dengan sekeliling kita dan kita boleh lihat realitinya ketika ini. Sebab itu kita pilih Kitab Hadis 40 Peristiwa Akhir Zaman. Disamping itu apabila kita mengetahui apa yang berlaku disekeliling kita, kita bolehlah ambil persediaan, kita ambil langkah berjaga-jaga. Kitab Hadis 40 Akhir Zaman itu memang sesuai dengan dunia hari ini.


Kemudian kita juga ada belajar kitab Munyatul Musolli yang mana isi kandungan utamanya ialah cerita tentang sembahyang. Ibadah sembahyang dari mula sampailah habis. Dan Alhamdulillah, setakat ini kita dah belajar daripada mula kitab sampailah kepada sunat hai'ah. Kalau kita ikut yang itu sahaja pun sudah cukup lengkaplah sembahyang kita. Cuma selepas ini kita kan sambung cerita tentang tasauf, tentang isi batin sembahyang itu, nak bagi cantik lagi macam mana.


Seterusnya kita ada juga menyentuh dalam pengajian-pengajian kita Kitab Kimia as-Saadah karangan Imam Al-Ghazali, ini satu kitab tasauf yang jarang-jarang ada orang mengajar, jadi kita ambil kesempatan kita sentuh sikit-sikit. Kerana apa? Kerana kimia as-Saadah kita ini sebagai `release tension’. Siapa-siapa berasa rimas, rasa malas nak beramal ibadah, kalau dia dengar kitab ini, dia akan rasa bersemangat balik. Sebab itu ada satu orang muda dia kata dia` tension’ dan dia nak belajar agama, tetapi `tension’. Saya kata dengar dulu kuliah Kitab Kimia as-Saadah yang telah diupload ke internet. Setakat hari ini sudah sebelas kuliah kitab itu. Dengar yang itu, insyaallah hati jadi tenang serba sedikit.


Hadirin yang dirahmati Allah sekalian.


Sekarang kita masuk kepada kitab yang baru kitab Kifaayatul Muhtaaj. Siapa dia pengarang kitab ini? Tidak lain ialah Syeikh Daud Fatoni iaitu orang yang sama karang kitab Munyatul Musolli yang kita belajar. Jadi tak perlulah kita huraikan panjang lebar tentang biodata syeikh ini. Kita pun kenal sangatlah. Dia ini seorang ulama besar yang dipercayai bertaraf wali Allah yang hidup pada zaman dahulu. Berasal dari Pattani, Siam. Jadi kitab ini tuan-tuan dia cerita tentang Israk dan Mikraj dari mula sampai habis.


Israk ini apa dia? Ringkas cakap Israk ialah perjalanan Nabi Muhammad pada waktu malam daripada Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Ansar di Palestin. Dia berjalan melintang. Mikraj pula ialah perjalanan Nabi Muhammad daripada Masjidil Ansar sampai ke langit ke-7, sampai atas daripada Sidratul Muntaha, samapailah berjumpa berdepan dengan Allah S.W.T. Jadi Israk ini perjalanan melintang. Kalau Mikraj ini secara umumnya perjalanan menegak naik ke atas. Kenapa kita pilih Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini yang membicarakan tetang Israk Mikraj. Antara sebab yang pertama sebagaimana yang disebutkan tadi setiap kali dalam sembahyang, dalam tahiyat kita dia berkisar tentang Israk Mikraj.


Jadi kita rasa rugi sangatlah kita dok baca “At-Tahiyya..” banyak kali dalam masa sehari tapi kita tidak tahu kisah di sebaliknya. Jadi insyaallah, kita akan bongkar, selongkar apa-apa isi daripada peristiwa tersebut. Yang ke-2, sebagaimana yang disebutkan tadi juga, jarang ada guru yang mengajar kitab ini habis. Biasanya kita panggil penceramah, dalam masa 1 ½ jam dia pun cerita. Dalam masa 1 ½ jam tu tak banyak yang boleh dia cerita. Saya pernah dengar satu ustaz mengajar, 1 ½ jam tu dia sempat cerita pasal Israk saja. Perjalanan melintang saja. Nabi Muhammad naik buraq daripada Mekah ke Palestin. Yang itu sahaja, masa dah nak habis dah. Tak sempat naik ke langit pun. Dah naik nak turun pula daripada langit. Turun daripada langit dari Palestin balik ke Mekah pula. Semua itu ada cerita. Macam-macam cerita yang sangat menarik. Lepas itu, daripada malam Israk tu pulak ada juga cerita menarik lagi. Jadi kita nak bongkar semua sekali. Banyak cerita-cerita menarik dalam ni.


Peristiwa Israk Mikraj ini juga dia sebenarnya membuka cerita tentang alam semesta, macam mana kedudukan alam ini. Langit-langit, susunan langit-langit yang macam mana kata langit yang ketujuh. Macam mana kata bumi 7 petala bumi? Semua itu kita akan sentuh, kalau tak banyak, sikit. Dan yang pentingnya, peristiwa Israk Mikraj ini ada petunjuk, ada pedoman, ada panduan untuk kita umat akhir zaman. Sebab itu Allah SWT kekalkan ia dalam tahiyat kita setiap kali sembahyang kita baca. Baik dari segi tasaufnya, politiknya, dari segi perjuangan jemaah-jemaah Islam, dari segi kekeluargaan, dari segi kajian sains dan lain-lain. Semuanya ada di dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Jadi kita berpindahlah kepada kitab kita Kifaayatul Muhtaaj. Sebuah kitab lama, mungkin 100 tahun lebih, mungkin 200 tahun dia punya umur.


*Audio kuliah 1/123 ini ditekskan oleh Cempaka.

http://wangiancempaka.blogspot.com/

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Cempaka.


Lokasi asal teks